Motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan
hendak berjaya ataupun hendak mencapai sesuatu. Motivasi boleh juga dikatakan
sebagai rangsangan untuk kejayaan seseorang ataupun rangsangan hendak
mengelakkan diri daripada kegagalan. Orang yang mempunyai motivasi bererti dia
sudah memperoleh kekuatan bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup sama ada di
dunia ataupun akhirat ataupun keduanya sekali. Ahli psikologi memfokuskan pada
tiga persoalan asas mengenai motivasi iaitu :
- Apakah yang menyebabkan seseorang memulakan satu tingkah laku?
- Apakah yang menyebabkan seseorang bergerak ke arah matlamat atau impian?
- Apakah yang menyebabkan seseorang tabah dan berkeras hendak mencapai impian itu?
Motivasi berasal daripada perkataan Inggeris iaitu
motivation yang bermakna "bersemangat". Motivasi adalah sesuatu yang ada (ataupun
tiada) dalam diri dan minda yang akan menentukan kejayaan ataupun kegagalan
dalam apa jua perkara yang dilakukan. Menurut Kimble, et al(1984)
motivasi adalah proses yang terjadi dalam diri yang menciptakan tujuan dan
memberikan tenaga bagi tingkahlaku seseorang iaitu daya penggerak yang ada di
dalam diri seseorang untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu demi mencapai
suatu tujuan
Jenis-Jenis Motivasi
Motivasi berpunca
dari dalam ataupun dari luar diri seseorang. Dalam pembelajaran, guru perlu
tahu sama ada pelajarnya cenderung kearah motivasi yang timbul dari dalam
ataupun dari luar diri mereka. Ini perlu supaya guru dapat bertindak dengan
sewajarnya bagi memberikan rangsangan kepada pelajarnya supaya berusaha.
Motivasi yang berpunca dari dalam diri iaitu yang didorong oleh faktor kepuasan
dan ingin tahu disebut ‘motivasi intrinsik’. Motivasi yang berpunca dari luar
iaitu apabila kita buat sesuatu bagi mendapatkan ganjaran adalah ‘motivasi
ekstrinsik’
Motivasi ekstrinsik diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan
tujuan menggerakkan individu supaya melakukan sesuatu aktiviti yang membawa
faedah kepadanya. Motivasi ekstrinsik ini dapat dirangsang dalam bentuk-bentuk
seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk suasana dan iklim persekitaran
yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar. Contohnya, pujian yang
diberikan oleh guru kepada seseorang pelajar kerana kerjanya yang baik akan
menyebabkan daya usaha pelajar itu meningkat. Peneguhan
adalah suatu motivasi ekstrinsik yang boleh memberi kesan kepada tingkahlaku
seseorang pelajar.
Di dalam kelas, guru perlu tahu jenis peneguhan yang hendak
diberikan dan sekerap mana ia perlu diberikan. Ada peneguhan yang dapat diberikan dengan
kerap, contohnya pujian sokongan ataupun pujukan. Menurut Kazdin(1984),
peneguhan lebih berkesan sekiranya diberikan dengan kerap pada peringkat
pembelajaran baru. Oleh itu, semasa pelajar mula mempelajari sesuatu tugasan
yang baru, mereka sebaik-baiknya diberikan pujian dan sokongan dengan kerap. Hukuman
ataupun deraan adalah suatu bentuk peneguhan negatif dan ia sebaik-baiknya
tidak diberikan. Hukuman lazimnya digunakan oleh guru bagi menghapuskan
kelakuan pelajar yang tidak baik. Hukuman ini mungkin sebagai kerja tambahan,
kelas tahanan, deraan fizikal dan pelbagai jenis hukuman lagi. Guru juga menggunakan
sindiran, kemarahan dan kritikan bagi mengawal kelakuan pelajar. Hampir semua
jenis hukuman memberikan kesan buruk kepada pelajar. Oleh itu, peneguhan jenis
ini lebih baik dielakkan. Hukuman boleh diberikan sekiranya jenis hukuman itu
dibenarkan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan ataupun Kementerian
Pendidikan.
Motivasi intrinsik
Motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan
dalaman. Ia terdiri daripada dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu
aktiviti tanpa mengharap ataupun meminta ganjaran. Sebagaimana yang sudah
dibincangkan, Bruner (1966) mengaitkan motivasi intrinsik ini dengan naluri
ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan bagi murid yang baru masuk sekolah.
Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi.
Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk daripada pembelajaran dan pengalaman
yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat
muzik adalah gerakan motivasi intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan
pengalamannya. Harter (1981) mengenal pasti lima dimensi kecenderungan motivasi intrinsik
dalam bidang pembelajaran. Dimensi-dimensi ini adalah cabaran, insentif bekerja
bagi memuaskan minat dan sifat ingin tahu, percubaan penguasaan yang bebas,
penilaian yang bebas berkenaan apa yang hendak dilakukan di dalam kelas dan
kriteria dalaman untuk kejayaan.
Pelajar yang lebih cenderung ke arah motivasi intrinsik sukakan
pekerjaan yang mencabarkan. Mereka mempunyai insentif yang lebih untuk bekerja
bagi memanfaatkan kepuasan diri sendiri daripada mengambil hati guru bagi
mendapat gred yang baik. Mereka lebih suka mencuba mengatasi masalah dengan
sendiri daripada bergantung pada bantuan ataupun bimbingan guru. Mereka juga
menerapkan suatu sistem penguasaan matlamat dan taraf penilaian yang
membolehkan mereka membuat penilaian bebas berkenaan kejayaan ataupun kegagalan
mereka di dalam kelas tanpa bergantung pada guru bagi mendapat maklumat ataupun
penilaian.
Menurut Deci (1975), motivasi intrinsik dapat diterangkan sebagai
suatu keadaan psikologi yang diakibatkan apabila individu menganggap diri
mereka berkebolehan dan dapat menentukan sesuatu dengan sendiri. Seseorang itu
mengalami motivasi intrinsik yang tinggi sekiranya dapat melakukan sesuatu yang
digemari seperti memandu kereta, melawat tempat-tempat yang disukai, memilih
tempat penginapan dan memilih makanan yang diidamkan. Sekiranya dia diberikan
hadiah seperti lawatan ke tempat-tempat yang ditentukan oleh badan penganjur,
tempat penginapan dan jenis makanan juga ditentukan oleh pihak itu, dia tidak
mendapat peluang hendak menentukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, motivasi
intrinsiknya menjadi terlalu rendah.
Guru yang mahu meningkatkan motivasi intrinsik pelajar dalam bidang
akademik perlu mewujudkan suasana akademik yang memberi peluang kepada pelajar
mendawal pembelajaran. Guru juga perlu menentukan pelajar dapat melakukan aktiviti pembelajaran dengan
cemerlang. Walau bagaimanapun, perlu ditentukan terlebih
dahulu, pelajar mempunyai persepsi yang diri mereka berkebolehan.
Sekiranya mereka tidak mempunyai persepsi seperti itu, peluang-peluang yang
diberikan bagi mengawal pembelajaran tidak akan digunakan dengan sempurna.
No comments:
Post a Comment