Sekolah merupakan satu organisasi pendidikan di Malaysia
yang melatih murid-murid untuk mencapai prestasi yang cemerlang samada dalam
bentuk kurikulum mahupun kokurikulum sebagai persediaan untuk menduduki tahap
pendidikan yang lebih tinggi. Guru pula merupakan individu penting yang
berperanan besar untuk membentuk sahsiah dan keperibadian yang mulia dalam
kalangan pelajar melalui usaha-usaha serta komitmen kerja yang tinggi untuk
memenuhi keperluan sistem pendidikan di negara kita. Sebagai seorang guru,
mereka memainkan peranan yang penting dan mencabar dalam melahirkan murid-murid
yang berprestasi tinggi khususnya dalam bidang akademik.
Dengan wujudnya perubahan dan reformasi dalam pendidikan
sudah pasti menjadikan peranandan tugas guru semakin berat dan mencabar (Utusan
Malaysia, 15 Mac 2003). Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Dato’ Dr. Haji Ahmad
Bin Sipon pula mengatakan,“Guru hendaklah menjadikan diri mereka releven dengan
tuntutan perubahan semasa melalui peningkatan ilmu, pengetahuan, dan kemahiran
ke tahap yang tertinggi mungkin (Pendidik, Bil 13, 6-9, 2005)”.
Kajian-kajian yang telah dijalankan sebelum ini telah
menunjukkan guru-guru di negara kita mengalami stres dan wujudnya ketidakpuasan
kerja kerana perubahan demi perubahan berlaku dalam dunia bidang pendidikan
(Chaplin, R.P., 2001 dan Abdul Ghani et al., 2006). Stres dan tahap kepuasan
kerja yang dialami oleh mereka jauh lebih tinggi kerana bidang tugas mereka
merangkumi berbagai aspek. Mereka juga perlu berhadapan dengan berbagai masalah
dalam kehidupan seperti masalah keluarga dan kewangan. Faktor-faktor ini akan
menimbulkan tekanan. Tekanan yang timbul ini akan menyebabkan mereka tidak
dapat melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan berkesan. Selain itu, kajian-kajian juga menunjukkan
faktor-faktor suasana kerja, ganjaran, kenaikan pangkat, penyeliaan dan
hubungan rakan sebaya juga akan menimbulkan stres dan ketidakpuasan kerja di
kalangan guru.
Mengikut Hart (1994) stres yang wujud akan memberi impak
negatif yang akan menyebabkan seseorang guru veteran meninggalkan profesion
perguruan. Justeru itu, kajian ini dilakukan untuk mengkaji adakah
faktor-faktor suasana kerja, masalah keluarga dan faktor kewangan menyebabkan
wujudnya stress di kalangan guru khususnya di sekolah-sekolahdi daerah Kota
Marudu.
Di samping
mengendalikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam dan luar bilik darjah,
mereka juga bertanggungjawab untuk mengendalikan pelbagai program dan aktiviti
yang sesuai untuk mencapai visi pendidikan guru iaitu memberi pendidikan
bertaraf dunia. Untuk menjayakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang
dirancang tersebut, seseorang guru perlu melalui pelbagai desakan dan cabaran.
Misalnya dalam usaha memberi pendidikan bertaraf dunia, desakan mereka tidak
hanya terikat kepada proses pengajaran dan pembelajaran semata-mata, seperti
membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran, mengimplementasikan rancangan
tersebut dengan berkesan dan membuat penilaian pelajar yang berlainan
perwatakan, kebolehan, kehendak dan latar belakang. Sejajar dengan hasrat
menjadikan pendidikan bertaraf dunia tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia
telah menggariskan beberapa langkah untuk menangani cabaran tersebut. Salah
satu daripada langkah tersebut ialah pendidikan
guru perlu direformasikan bagi menyediakan guru-guru yang berwibawa dengan ilmu
pengetahuan, mengamalkan sikap, nilai dan falsafah pendidikan yang progresif,
dapat mengembangkan profesionalisme perguruan yang idealistik untuk
membangunkan generasi muda yang celik budaya, mempunyai kualiti sosial dan
moral yang tinggi, bersifat futuristik dan positif untuk mencapai kemajuan dan
perubahan. Perananprofesyen perguruan dalam masyarakat membangun seperti
Malaysia menjelang abad ke 21 tidak seharusnya dibataskan di atas andaian dan
pandangan yang sempit. Sebarang langkah bagi mengongkong dan menyempitkan
peranan golongan guru sudah tentu akan merugikan masyarakat dan negara.
Seseorang guru pada masa kini juga perlu mengharungi
cabaran dari semua aspek yang lain seperti memain peranan aktif dalam semua
mesyuarat yang dihadiri, membuat kerja-kerja perkeranian, memperolehi ilmu
untuk melaksanakan kegiatan ko-kurikulum yang dipertanggungjawabkan dan
pelbagai kerja peningkatan kualiti seperti ISO, 5S, aktiviti inovasi,
penandaarasan dan penyelidikan. Untuk menjalankan tugas dan kerja yang pelbagai
dengan berkesan, institut memerlukan guru yang komited, dedikasi dan
bertanggungjawab. Sehubungan dengan itu kajian lepas melaporkan bahawa komitmen
mempunyai pertalian dengan kepuasan kerja (Kimball & Nink, 2006; Whitecare,
2006; Chua, 2008).
Guru juga
perlu mengalami kepuasan kerja untuk membolehkan mereka menjadi lebih komited
supaya mereka mampu melahirkan guru-guru yang professional dan berkesan dalam
melaksanakan tugas mereka di sekolah kemudian. Kajian-kajian yang dilaksanakan
pada tahun 2008 dan 2010 dalam kalangan pensyarah institut melaporkan bahawa
mereka amat komitmen dan amat berpuashati dengan kerja mereka (Chua, 2008; Chua
2010).
No comments:
Post a Comment